Recent twitter entries...

Tazkirah : 5 RACUN HATI

Salam.

Selamat bertemu kembali di tahun 2011!

Buat permulaan tahun 2011 ini, Panitia Pendidikan Islam SMK Tasek Utara cuba memuat turun bahan2 tazkirah Jumaat yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah SMKTU.. mudah-mudahan bahan-bahan tersebut boleh dikongsi dengan semua pelajar atau sesiapa yang singgah bertandang ke blog ini.

Topik tazkirah pada minggu ini ialah
LIMA RACUN HATI :

Kita sebagai umat Islam disarankan agar sentiasa menghindarkan diri dari LIMA racun hati ini :

PERTAMA : Banyak cakap

Lidah adalah nikmat Allah kepada semua manusia, namun andai tidak dijaga lidah boleh membawa banyak kemudharatannya.. Malah, Rasulullah s.a.w. ada
mengingatkan umatnya bahawa di neraka kebanyakan manusia yang diseksa
adalah dikalangan mereka yang tidak menjaga lidah..

Banyak cakap...kadang boleh membawa kebaikan dan juga kemudharatan..malah kebiasaannya lebih banyak kemudharatan berbanding kebaikan apabila banyak cakap.. Banyak cakap ini termasuklah berdusta, berbohong, menghina, mengejek, memfitnah, mengumpat, menyakiti hati orang lain..

Oleh itu, alangkah baiknya kita semua basahkan lidah kita ini dengan zikir dan juga perkataan-perkataan yang baik-baik sahaja..

KEDUA : Banyak pandang

Allah memberi kita nikmat pandangan mata kepada kita semua. Ia adalah nikmat yang sangat besar, malah ada sesetengah orang sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan penglihatan yang sempurna. Namun, pandangan mata ini jika tidak dikawal dan tidak dijaga akan menyebabkan hati kita diracuni..

Janganlah kita pandang berlebihan kepada yang berlainan jantina dengan kita..dengan sengaja. Kerana pandangan sebeginilah akan menjerumuskan kita kepada golongan zina mata..nauzubillah.

KETIGA : Banyak bergaul

Manusia memang perlukan pergaulan dan interaksi sesama mereka. Ini kerana manusia adalah makhluk sosial yang tak mungkin mampu hidup sendiri tanpa campur tangan orang lain. Namun, pergaulan tersebut haruslah dibatasi dengan batas-batas agama..bukannya pergaulan secara bebas dan tanpa aturan yang sewajarnya.

Oleh itu, pilihlah teman bergaul yang menepati syar'i, dan jagalah pergaulan terutama jika pergaulan terhadap lawan jenis.

KEEMPAT : Banyak makan

Makan berlebihan boleh menjadi sumber penyakit fizikal dan juga mematikan hati. Selain itu, jika banyak makan..boleh menyebabkan kita MALAS untuk beribadat, susah untuk bergerak melakukan aktiviti-aktiviti yang dipertanggungjawabkan dan kemungkinan besar akan timbul macam-macam alasan untuk mengelak dari bergerak.

Sewajarnya makanan yang masuk ke perut kita hendaklah dijaga agar memenuhi dua kriteria : HALAL dan TOYYIB .

Cara makan yang ideal ialah makan 1/3 daripada kapasiti perut kita.. ini kerana 1/3 lagi diisi dengan air dan 1/3 lagi adalah untuk ruang udara.


KELIMA : Banyak tidur
Banyak tidur berhubung rapat dengan banyak makan.. Makan berlebihan cenderung mengakibatkan tidur berlebihan. Apabila berkumpul dua perkara ini..nescaya banyak perkara maksiat akan berlaku...MALAS bekerja, otak TAK CERDAS, masa banyak RUGI..

KESIMPULAN

Secara jujurnya, dalam apa-apa perbuatan yang kita lakukan hendaklah dalam keadaan BERSEDERHANA...dengan tidak melupakan batas-batas syariat yang telah ditetapkan kepada kita semua oleh ALlah Taala.

Wallahu a'lam


Penyampai tazkirah : Pn. Fadzilah bt Sawani @ Sauli
( Guru Cemerlang Pendidikan Islam )
21 Januari 2011

Comments (0)

Post a Comment